Di Segenap Sudut Dunia, Ada Cerita Tersendiri.

Wednesday, June 20, 2012

Novel, Remaja dan Melayu



Gambar Hiasan. ;)


Ronda-ronda kedai buku,
berhenti di ruangan "Novel Melayu",



Sah,
4 daripada 6 rak yang diperuntukkan untuk ruangan tersebut adalah
Novel yang berkisarkan Cinta !
Isu orang Melayu ni memang hanya Cinta ya?
Hmm...
Novel yang berusaha menjadikan cerita cinta mereka adalah paling indah buat semua.

Mujur di ruangan "Novel Remaja",
buku-buku, Novel, Kompilasi Cerpen terbitan PTS, Utusan, Galeri Ilmu mendominasi.

Kalau tidak, parah !

Itu belum lagi lihat ruangan lain !


Share:

Tuesday, June 19, 2012

Ikut Realiti Hidup Anda !


Assalamualaikum...

Kita (Manusia), kalau dah hidup zaman sekarang ni, bukan hanya tertumpu pada soal Aqidah lagi, tapi semua aspek perlu turut ditumpu.

Bukan bermaksud memperlekehkan pembelajaran Akidah, kerana semua perlu tahu akidah itu sentiasa perlu dimantapkan. Cuma, di samping mantapkan akidah, jangan abaikan aspek-aspek lain dalam kehidupan.

Kita hidup dalam realiti. Mantapkan diri dengan Agama, bukan bermaksud mengenepikan faktor Dunia, seperti Siasah, Iqtisad, dan Masyarakat. Kerana mereka (faktor2 dunia) ini juga perlu kita pacu berteraskan Agama.

Jadi, tiada alasan untuk ketepikan Politik dalam Kehidupan ! :)

Ayuh, realitikan kehidupanmu.

Sebagai contoh, anda sebagai Pegawai Bank, lalu anda terdengar seruan ke arah "Selamatkan Akidah", "Mantapkan Aqidah", "Dalamilah Ilmu Agama". Justeru, adakah anda tergamak menggadai kerjaya 'duniawi' anda? Tidak, teruskan menjadi Pegawai Bank ! Jadi Pegawai Bank yang Mantap Akidahnya. Bukan meletak jawatan, semata-mata membuang ke'Dunia'an. !
Share:

Sunday, June 17, 2012

Seminar Penulisan : Sebuah Coretan

Rindu pada institut tempat aku pernah menimba ilmu sedikit terubat. Meski baru sebulan (4 minggu) aku tidak mengunjunginya, tetapi dengan hanya tempoh kurang 24 jam di sana, ia merupakan detik yang amat manis buat diriku.


Setelah beberapa kali ingin ke sana (ITQAN) tetapi gagal, maka dengan beralasankan ingin mengikuti Seminar Penulisan anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling (wadah untuk aku mengangkat nilai tambah diriku semasa di sana), maka kali ini aku tekad untuk ke sana.

Atas dasar ukhuwah dan dakwah, maka aku ke sana.

Pagi yang hening di ITQAN.


Seminar Penulisan ini (jika tidak silap) merupakan seminar penulisan kali kedua yang pernah diadakan di Institut. Seminar kali pertama (tak ingat tahun bila) menampilkan dua penulis prolifik, Puan Nisah Haron dan Sdr. Faisal Tehrani. Untuk seminar kali ini, pihak UBK menampilkan Ustaz Muhadir Hj Joll (Kolumnis Majalah Q&A) dan Sdr. Zaid Akhtar (Novelis Salju Sakinah).

Ustaz Muhadir Hj Joll : Slot Pertama

Ustaz Zaid Akhtar : Slot kedua & ketiga.

Alhamdulillah, aku berjaya mengikuti hanya 2 slot sahaja, iaitu slot Penulisan dan Dakwah oleh Ustaz Muhadir Hj Joll dan slot Teknik Penulisan Cerpen oleh Ustaz Muhammad Yazid Abd Majid (Zaid Akhtar). Slot ketiga yang turut dibawa oleh Ustaz Zaid Akhtar tidak aku ikuti kerana ingin bergegas ke Seremban. (Almaklumlah naik bas. kuikuikui)


Berikut merupakan antara quotes&notes yang saya perolehi di sana. :)

1. Dakwah itu rencam sifatnya, luas medannya. Namun ia adalah wasilah. Matlamatnya adalah Islam,.

2. Tujuan menulis: (1) Amar Makruf Nahi Munkar : Tuntutan yang utama, yang perlu dilaksanakan oleh setiap daie, yang perlu ditengahkan oleh setiap penulis Islam dalam penulisan mereka. (2) Membina Insan Ulul Albab : Manusia yang sentiasa berzikir dan berfikir (Surah Ali Imran : 191)

3. Fungsi Menulis Karya Kreatif : (1) Karya Islami sebagai Model, (2) Karya Islami sebagai Alternatif, (3) Karya Islami sebagai Perisai.

4. Prasyarat Menjadi Penulis : (1) Kenal Dahulu Penulis Malaysia, (2) Kenal Dahulu Karya Penulis Malaysia.

5. Pentingnya penulisan dengan dakwah Islam kerana tanpa penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah dan para Sahabat, maka Islam tidak akan sampai kepada kita.

6. Abdullah ibn Umar r.a berkata: Kami tidak pernah berbhong dan kami tidak pernah kenal erti bohong

7. Tiada yang KEBETULAN dalam dunia ini kerana semuanya telah diTAKDIRkan Allah s.w.t.

8. Tempat terbaik di Dunia ialah Masjid, Tempat terbaik di dalam Masjid ialah Saf Pertama, Tempat terbaik pada Saf Pertama ialah Solat, Tempat Terbaik di dalam Solat ialah Sujud.

9. Imam Zuhri (Guru kepada Imam Malik) paling benci melintasi Pasar. Pasar adalah antara tempat paling disukai Syaitan. Sekiranya Imam Zuhri melintasinya, maka beliau akan menutup telinga dan mata sambil dipimpin oleh khadamnya. Beliau menutup telinga kerana risau apa yang didengarinya di sana akan diingatinya ekoran dari ingatannya yang amat kuat.

10. Orang Arab mempunyai ingatan yang cukup kuat. Namun, dalam ilmu Hadith, Imam Bukhari (yang bukan orang Arab) mengungguli gelaran Rais al-Muhaddithin, kerana beliau mendahului dalam aspek penulisan yang banyak, amalan dan hati yang baik.

11. Terdapat banyak Mazhab Fiqah di dunia ini (lebih seratus mazhab). Namun yang paling terkenal adalah Mazhab yang Empat. Mazhab yang Empat terenal kerana: (1) Imam Mazhab mereka menulis sendiri pandangan mereka, (2) Anak Murid mereka menulis pandangan daripada mazhab tersebut.

12. Di Malaysia, majoriti rakyat bermazhab (1) Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asha'irah - Akidah, (2) al-Shafi'iyah - Fiqah, (3) Hafs daripada Aasim - Qiraat al-Quran, (4) Masyrab Imam Junaid Al-Baghdadi - Tasawuf.

13. Melihat wajah orang salih, hati akan tenang dan beroleh barakahnya.

14. Hidup sepanjang zaman, bukan hidup pada satu zaman sahaja.

15. Panjang Umur ada 2 maksud : (1) Umur yang memang dipanjangkan, (2) Umur yang berkat hasil ilmu yang diajari, kitab yang ditulis dan jasa yang dikenang.

16. Saidina Ali bin Abi Talib berkata : Setiap penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.

17. Mufti yang tidak mempunyai pakaian Mufti pada hari Jumaat, diharuskan untuk tidak datang solat Jumaat. Ini bertujuan agar (1) mengelak daripada fitnah, (2) dipandang kurang thiqah oleh jemaah, (3) mengelakkan daripada ilmunya diperlekeh.

18. Di Fathani (Pattani), tok guru yang memakai seluar dipandang kurang thiqahnya. Sebab itulah mereka mengenakan serban dan jubah pada tubuh mereka.

19. Pada pakaianmu ada Izzah, maka peliharalah apa yang kamu pakaikan pada tubuhmu.


Dedikasi:
Tahniah kepada Kak Aishah Ismail (Pengarah Program) di atas penganjuran Seminar Penulisan ini. Terima kasih kerana mengundang. Tahniah juga kepada AJK Pelaksana program. Tahniah kepada Persatuan Kebajikan Siswa & Siswi ITQAN, Unit Bimbingan & Kaunseling ITQAN dan Persatuan Bahasa ITQAN. Terima kasih buat murabbi, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz Zaid Akhtar, dan Ustaz Amiza Khusyri Yusof.

------------------------------

Oh ya, sebelum terlupa, semasa sesi seminar dijalankan, Alhamdulillah saya memperoleh hadia berupa Novel Bukan Legasi Lalang karya Sri Rahayu Mohd Yusop daripada Ustaz Zaid Akhtar kerana berjaya menjawab soalan. Di akhir slot kedua pula saya sempat membeli Novel terhad (Ustaz Zaid Akhtar bawa 2 buah sahaja), Novel Sesegar Nailofar.

Sesegar Nailofar.

Bukan Legasi Lalang

Kedua-duanya sehingga coretan ini ditulis, saya belum membacanya. Belum punya waktu yang sesuai. Apa-apapun, kenangan terindah di ITQAN kali ini akan disemat di hati.

Sekian, wassalam.

Share:

Wednesday, June 06, 2012

Palsu atau Sahih?


Gambar Hiasan : Sumber Google.

Assalamualaikum w.b.t


Baru-baru ini, dunia aliran pemikiran (tak perlu dinyatakan) Islam kembali hujah-menghujahi (saling berhujah). Antara isunya adalah berkaitan kata-kata di bawah:


Tuntutlah Ilmu Hingga Ke Negeri China


Masalah: Kata-kata di atas dikatakan sebagai Hadis Rasulullah.


Sumber Riwayat Hadis:



Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ dalam Musnadnya pada Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya. Hadis bernombor 18.
(Lihat: Al-Rabi’ bin Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Beirut, 1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)


Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab Syuab al-Iman. Hadis bernombor 1663.
(Lihat: Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id Basyuni Zaglul, juz 2 m/s 253).


Hadis ini juga disebut dalam Musnad al-Bazzar. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan sebagai Palsu (Maudhuk). Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya.
(Lihat: Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an : Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s 75)


Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani dalam Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236.
(Lihat: al-Hamazani, Firdaus bi Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, Cetakan Pertama, tahkik: Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 78)

Bantah:


Ada segelintir yang membantah bahawa kata-kata tersebut adalah Hadis Nabi. Mereka meletakkan Hadis tersebut sebagai Hadis Dhaif. 


Berikut antara hujah mereka.
Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al-Jauzi dalam buku al-Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al-Maqdisi (507H)[2], al-Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al-Albani[5].

Ulasan:
Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Firman Allah yang bermaksud: ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

1. Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].

2. Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim[8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada dalam al-Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.


[1]Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.


[2]Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh. 

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 – laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.

[6]Surah al Mujadalah – ayat 11.

[7]Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699

[8]Hadis riwayat Ibnu Majah  – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah.  Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.


Sokong :

Namun begitu, terdapat juga sekumpulan ulama yang menyokong kata-kata tersebut adalah Hadis Rasulullah.

Berikut adalah hujah mereka:

“Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, kerana sesungguhnya menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim”.
Nas di atas adalah matan dari hadis dhaif tetapi diriwayatkan melalui banyak sanad, antaranya Imam Baihaqi dalam kitab Syi’bul Iman. Ahli hadis menyatakan di antara perawi hadis tersebut adalah Abu ‘Atikah yang dikatakan oleh ulama’ hadis sebagai perowi dhaif, sehingga muncul banyak pendapat dalam menilai hadis ini sebagai hadis dhaif, batil atau tidak bersanad.
Namun demikian, menurut al-Hafiz al-Mazi : kerana hadis ini memiliki banyak jalan (sanad), maka dari dhaif naik ke darjat Hasan Lighoirihi. Oleh kerana itu tidak boleh bagi kita mengatakan bahwa itu bukan hadis.
Untuk Pendetailan yang menyatakan Kata-kata tersebut sebagai Hadis, klik sini. (Al-Ghari) 


Khulasah:


Saya lebih cenderung dengan penghujahan daripada kumpulan yang menyokong kata-kata tersebut sebagai hadis. Namun, sekiranya kata-kata tersebut bukan hadis sekalipun, saya tetap mengambilnya (tanpa menyandarkan kepada Nabi) dan dijadikan sebagai kata-kata pembakar semangat saya dalam menuntut ilmu.


Kita lihat semula matan hadis / teks kata-kata tersebut.


"Tuntutlah Ilmu Walau Ke Negeri China"


Kata-kata ini secara tidak langsung membakar semangat kita untuk belajar dan berusaha mencapai ilmu walaupun:


1. Memperolehinya itu sukar
2. Mendapatkannya itu jauh


Tuntutlah ilmu sejauh mana kita mampu, setinggi mana kita boleh, dan sebanyak mana kita dapat perolehinya. Wallahua'lam. 


Segala kesilapan harap ditegur. Syukran & Sekian.

Share:

ZahirulOnline kini dengan Kod QR !

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, saya baru sahaja membina kod QR bagi laman blog ZahirulOnline ini.
Pada mulanya saya tertanya-tanya, apakah benda kotak seperti yang di bawah ini?

Kaji punya kaji, baru tahu ia adalah Kod QR. Kod QR boleh diimbas menggunakan Pengimbas Kod yang terdapat telefon bimbit anda. ;)
Imbas kod ini, dan anda akan ke laman ZahirulOnline versi Mobile. ;)

Itu sahaj pengumuman saya, ;P Anda boleh membina kod laman web anda sendiri dengan pergi ke Google. Taip QR Code Generator. banyak pilihan disediakan. ;)

Sekian~
Share:

Friday, June 01, 2012

Copyright © Zahirul Nukman 2016. Powered by Blogger.

Selamanya Murabbi