Usul Isyrin Imam Hasan Al-Banna


Usul Isyrin Imam Hasan Al-Banna
Dua Puluh Usul Jalan Wasatiah Perpaduan Ummah

Digariskan oleh Pengasas Ikhwan Al-Muslimin, Al-Syahid Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah sebagai jalan pertengahan (wasatiyyah) yang sahih dan tepat bagi mengembalikan perpaduan umat Islam untuk memahami risalah Islam yang asli dan telus. Usul Isyrin digunakan sebagai perkara asas dalam memahami Islam sebenar.

Perkara Usul Isyrin adalah seperti berikut:

1.      Islam adalah satu sistem yang lengkap (syumul) mencakupi seluruh bidang kehidupan.

2.      Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.

3.      Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati tidaklah menjadi dalil hukum Islam (syarak) dan tidak boleh dibuat pegangan

4.      Semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma'thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.

5.      Pendapat seseorang Imam dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu penafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.

6.      Sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum

7.      Bagi Muslim yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam, tetapi harus berusaha untuk terus meningkatkan iman dan ilmunya

8.      Khilaf (dari sudut penafsiran dan pegangan) dalam hukum fiqah yang melibatkan soal-soal cabang (furu') tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.

9.      Perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.

10. Mengenali Allah, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.

11. Setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang bercanggah dengan syarak mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.

12. Bidaah Idhafiyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadah mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fiqah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).

13. Mengasihi orang salih, menghormati mereka dan menyebut kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.

14. Menziarahi kubur hendaklah dilakukan sepertimana yang disyariatkan melalui Sunnah Rasulullah

15. Berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang salih) adalah perkara khilafiah furu'ie dalam kaifiat berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.

16. Adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.

17. Akidah (yang bersih) adalah asas segala amal dan amal hati adalah lebih penting dari amal zahir. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.

18. Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.

19. Pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'ie (telah jelas dengan dalil).

20. Jangan mengkafirkan seorang Muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya hanya kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat, kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.

Sumber: Apa Erti Saya Menganut Islam, karya Sheikh Dr Fathi Yakan rhm.


Dipanjangkan oleh: Putera.Madani

Comments

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan