Warkah Sahabat: Menyelusuri Denai Ramadhan


Warkah Sahabat: Menyelusuri Denai Ramadhan
Oleh: Putera Madani

Warkah ini kutitipkan buat diriku dan sahabat pembaca yang dikasihi sekalian. Apa khabar iman kalian sepanjang Ramadhan tahun ini? Moga bulan al-Mubarak tahun ini lebih baik daripada bulan Ramadhan tahun lepas.

Pembaca yang dimuliakan,

Sedar atau tidak kita sudah menjejakkan kaki ke fasa terakhir Madrasah Ramadhan 1432H. Fasa terakhir sebuah persiapan. Fasa terakhir sebuah persediaan. Ibarat sebuah penerbangan yang bakal berlepas. Para penumpang sedang menunggu di balai berlepas lapangan terbang. Berlepas? Mengapa tidak dikatakan tiba atau berlabuh?

Ya, Ramadhan itu sebuah persiapan. Ia adalah sebuah madrasah tarbiah. Universiti rahmah dan maghfirah. Tempat kita melatih diri untuk memperbanyakkan amalan dan mempertingkatkan ibadah. Tempat di mana kita mengutip dan memungut seberapa banyak bekalan untuk meneruskan sebuah perjalanan ke Universiti Ramadhan tahun berikutnya. Ini bermakna, Syawal dan bulan-bulan seterusnya merupakan perjalanan sebenar kita dalam mempraktik sebanyak mana amalan yang telah dilatih di bulan Ramadhan. Syawal adalah titik permulaan untuk seseorang menguji latihan mereka yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan. Aidilfitri dijadikan batu asas dalam memulakan ujian sebenar. Ingat, raikanlah Syawal dan Aidilfitri dengan kemenangan kita melawan nafsu, bukan kemenangan nafsu menawan kita!

Saudara-saudari pembaca sekalian,

Ramadhan tahun ini memberi banyak pengajaran kepada kita selaku umat akhir zaman, dan umat terbaik dalam kalangan semua umat yang telah diciptakan Allah s.w.t. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)….”
(Ali Imran: 110)

Ramadhan juga turut memberi sejuta makna kepada masyarakat Dunia yang menyambutnya. Kita akan mengejar, berlari demi menggapai apa yang kita impikan. Ibadah diperkuat, amalan diperhebat. Sedekah diperbanyak, zakat ditunaikan. Begitu juga dengan beberapa amalan khusus dan umum yang kita sedia maklum mempunyai kelebihan tersendiri.

Namun, sedar atau tidak, mari kita koreksi diri kita, adakah amalan dan ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadhan hanya untuk Ramadhan sahaja? Apakah selama ini kita bertuhankan Ramadhan? Sudahkah kita menjadikan Ramadhan sebagai batu loncatan ke arah taqarrub ilallah? Di mana perginya amalan yang telah kita lakukan setelah berlalunya Ramadhan? Adakah ia tertahan daripada dizahirkan dek kerana gelojak dan gelojohnya nafsu Syawal? Sama-sama kita renungi bait kata Imam Muda Fatah dalam Facebook beliau, ‘Insafi Diri, Koreksi Diri’.

Saudara-saudari pembaca budiman,

Jadi, apa yang kita perlukan selepas bersusah payah menanam benih pahala di bulan Ramadhan? Apa yang kita perlukan adalah kerjasama ISTIQAMAH. Sebuah perkataan yang mudah, namun sukar untuk dipraktikkan. Dengan istiqamah, kita dapat menuai hasil yang telah ditanam di bulan Ramadhan. Istiqamah adalah proses yang berterusan dalam melaksanakan perintah dan suruhan Allah s.w.t. Ia juga bermaksud lurus dan betul serta tetap pendirian. Menurut Kamus Dewan edisi Ketiga, istiqamah bermaksud ‘ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana tetapi berterusan‘

Menurut Khalifah Al-Rasyid kedua, Saidina Umar bin Al-Khattab r.a, katanya:

“Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa berubah-ubah seperti musang.”

Menurut Imam Minawi dalam kitabnya, ‘Faidhul Qadir’, katanya:

“Istiqamah bermaksud tunduk-patuh kepada segala yang diperintahkan dan menjauhi segala tegahan.”

Ada ulama yang menakrifkan istiqamah sebagai berterusan beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.aw dan berakhlak dengan akhlak yang diredhai Allah. Ada yang menakrifkan ia sebagai mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w dan meninggalkan bid’ah.

Allah s.w.t berfirman mengenai istiqamah yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
(Fussilat: 30-31)

Dalam hadith Rasulullah s.a.w juga turut menceritakan tentang istiqamah, maksudnya,

Daripada Sufian bin Abdullah Al-Thaqafi r.a, beliau berkata, ‘Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya mengenainya kepada seseorang selain daripadamu.’ Maka, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah.’
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w menyampaikan amanah baginda kepada Sufian bin Abdullah Al-Thaqafi r.a adalah bertepatan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud,

“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (Mereka - Wahai Muhammad - kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah (istiqamahlah) engkau melakukannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka…”
(Asy-Syura: 15)

Sahabat pembaca sekalian,

Dengan sinar rabbani (Kalam Allah) dan cahaya nabawi (Hadith Rasulullah) yang saya paparkan di atas, maka jelaslah bahawa istiqamah amat dituntut oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Ia merupakan amalan yang boleh membawa pengamalnya ke syurga. Justeru, bagaimanakah metode untuk kita beristiqamah? Kaedahnya cukup mudah, walaupun hakikatnya memang susah! Lakukanlah amalan yang sedikit itu tetapi secara berterusan kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit lebih dipandang mulia disisi Allah jika dibandingkan dengan amalan yang banyak namun tidak berterusan dan jarang dilakukan.

                Akhir tinta, ayuh kita semarakkan Ramadhan dan bulan-bulan berikutnya dengan perbanyakkan amalan, pertingkatkan ibadah, membudayakan istiqamah dengan mendalami ilmu bukan sahaja ilmu akademik, tetapi ilmu agama agar kita dapat membentuk generasi huffaz profesional di negara kita dan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat dan perlindungan-Nya.

Ramadhan Kareem! Sehingga bertemu lagi. Wallahua’lam.


kredit to: Ustaz Amiza Khusyri Yusof > atas tunjuk ajar dalam bidang penulisan. :)

Comments

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan