Di Segenap Sudut Dunia, Ada Cerita Tersendiri.

Sunday, January 22, 2012

Pemimpin : Mukmin Profesional


Konsep kepemimpinan sememangnya perlu dipandang serius dan bukan sambalewa. Ia merupakan antara cabang topik yang amat besar peranannya untuk kelestarian Islam zaman kini. Jika ada segelintir individu atau golongan yang menolak soal kepemimpinan, maka mereka itu sebenarnya tergolong dalam kelompok yang menafikan al-Quran dan al-Sunnah. Isu pemilihan pemimpin bukan isu yang main-main. Sedangkan keberadaan individu di tandas pun ada hukum-hakamnya, inikan pula isu pentadbiran yang melibatkan semua pihak.

Memilih pemimpin merupakan satu tanggungjawab. Jadi, adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk memilih pemimpin yang terbaik, termasuklah dalam ruang lingkup kampus. Dalam artikel kali ini, penulis menggariskan Beberapa ciri utama yang perlu diterapkan bagi seseorang Pemimpin

Mukmin Profesional
Seorang pemimpin seharusnya merupakan seorang mukmin professional. Dapat saya rumuskan, Mukmin Profesional ialah individu yang mempunyai 2 ciri unggul berikut :

1) Tingkah Laku (Mukmin)

Seseorang pemimpin seharusnya mempunyai keperibadian yang unggul, serta memperkukuh hubunganya dengan Pencipta (Hablu Minallah), hubungannya dengan dirinya dan orang lain (Hablu Minannas).

Hablu Minallah
Seseorang Presiden mahupun individu biasa mestilah meletakkan hubungan dengan Allah mengatasi lain-lain perkara. Dalam isu hubungan dengan Allah, antara pokok perbincangan utama adalah pemimpin itu mestilah mempunyai sifat ubudiah (kehambaan), berfikrah (berfikir mengikut acuan) Islam, menjalani proses tarbiah Islami (dengan menyertai usrah dan program pentarbiahan) dan apa-apa yang berkaitan dengan Rabbani. Seorang pemimpin itu bukan sahaja melibatkan dirinya dalam perkara makruf (kebaikan), malah berusaha menerapkan agenda tajdid dan tarbiah dalam organisasi yang bakal dipimpin. Sekiranya pemimpin tersebut sejak dari awal menolak proses kebaikan, tarbiah dan tajdid atas dasar ilmu, kredibiliti sebagai seorang pelajar dipertikai, maka penolakan adalah satu kemestian.

Hablu Minannas
Seseorang pemimpin juga mestilah memperkasa hubungannya dengan manusia lain. Berhubung persoalan ini, pemimpin tersebut hendaklah sentiasa mengamalkan budaya 3S (Salam, Senyum, Sayang), sentiasa bekerjasama dalam apa jua situasi dan mengamalkan sikap peduli dengan sesuatu keadaan.

Ia terangkum dalam akronim MAWAR (Mahabbah, Wahdah, Redha)

i. Mahabbah
Kasih sayang sesama manusia

ii. Wahdah
Bersatu padu bergandingan tangan, dalam perkara kebaikan dan pencegahan mungkar

iii. Redha
Mengajak manusia menuju redha Allah

Dalam ruang lingkup kampus, maka seorang pemimpin pelajar harus mempunyai hubungan dengan:
i. Pelajar sesama gender
ii. Pelajar berlainan gender
iii. Pelajar dengan pensyarah dan kakitangan
iv. Pelajar dengan pihak pentadbiran

Jika keempat-empat item di atas dipenuhi, maka sudah layaklah beliau dipilih sebagai pemimpin.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Bahawasanya Allah s.w.t telah berfirman: “Terdapat 4 perkara, (1) mengikat jalin hubungan dengan-Ku, (2) mengikat jalin hubunganmu dengan hamba-hamba-Ku, (3) untuk dirimu; dan (4) untuk-ku.

Adapun untuk Aku adalah bahawasanya engkau menyembah-Ku, tidak menyekutukan sesuatu dengan Aku
Adapun untuk engkau ialah bahawasanya apa yang telah engkau membuat kebaikan, maka Aku akan membalasmu.
Adapun yang satu antara Aku dan engkau ialah bahawasanya engkau berdoa dan Aku menerima
Adapun yang antaramu dan hamba-hamba-Ku ialah bahawasanya engkau merelakan bagi mereka apa yang engkau relakan bagi dirimu sendiri."
(Riwayat Abu Nu'aim)

2) Gerak kerja (Profesional)

Seorang pemimpin bukan sahaja Mukmin (Mahir dalam urusan agama) tetapi juga Profesional (Mahir dalam pengurusan dan gerak kerja). Pemimpin Mukmin yang profesional dalam gerak kerja adalah  mereka yang memimpin dengan ilmu dan kepakaran serta kemahiran terhadap kerja yang dilakukan. Persoalannya berkisar dalam ruang lingkup bahawa seseorang pemimpin harus  mempunyai kepakaran dan kemahiran terutamanya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.

Sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.”
(Riwayat Abu Daud)

Selain itu, seorang pemimpin juga haruslah mempunyai pengalaman berkhidmat dalam bidang pengurusan organisasi. Bayangkan, jika seorang Perdana Menteri dilantik, tetapi sebelum itu beliau langsung tidak pernah mengetahui selok belok dalam pentadbiran, adakah beliau sudah sedia sepenuhnya untuk berkhidmat? Sekurang-kurangnya, beliau mestilah pernah bekerja sebagai Menteri mahupun Pengerusi Badan-badan Kerajaan (GLC) lain.

Secara khulasahnya, saya mengajak sahabat pembaca agar berfikir dengan penuh teliti dan professional dalam pemilihan pemimpin. Jika Imam satu waktu kita boleh memilih dengan begitu teliti, inikan pula Imam yang akan memimpin kita satu penggal. Kita memilih bukan atas dasar dia rakan kita, tetapi memilih kerana dia dapat memimpin kita ke arah lebih baik.

Sehingga bertemu lagi, wassalam. 
Share:

1 Komentar:

hawiz said...

saya setuju dgn ustad!

Copyright © Zahirul Nukman 2016. Powered by Blogger.

Selamanya Murabbi