Di Segenap Sudut Dunia, Ada Cerita Tersendiri.

Wednesday, June 06, 2012

Palsu atau Sahih?


Gambar Hiasan : Sumber Google.

Assalamualaikum w.b.t


Baru-baru ini, dunia aliran pemikiran (tak perlu dinyatakan) Islam kembali hujah-menghujahi (saling berhujah). Antara isunya adalah berkaitan kata-kata di bawah:


Tuntutlah Ilmu Hingga Ke Negeri China


Masalah: Kata-kata di atas dikatakan sebagai Hadis Rasulullah.


Sumber Riwayat Hadis:



Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ dalam Musnadnya pada Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya. Hadis bernombor 18.
(Lihat: Al-Rabi’ bin Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Beirut, 1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)


Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab Syuab al-Iman. Hadis bernombor 1663.
(Lihat: Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id Basyuni Zaglul, juz 2 m/s 253).


Hadis ini juga disebut dalam Musnad al-Bazzar. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan sebagai Palsu (Maudhuk). Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya.
(Lihat: Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an : Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s 75)


Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani dalam Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236.
(Lihat: al-Hamazani, Firdaus bi Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, Cetakan Pertama, tahkik: Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 78)

Bantah:


Ada segelintir yang membantah bahawa kata-kata tersebut adalah Hadis Nabi. Mereka meletakkan Hadis tersebut sebagai Hadis Dhaif. 


Berikut antara hujah mereka.
Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al-Jauzi dalam buku al-Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al-Maqdisi (507H)[2], al-Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al-Albani[5].

Ulasan:
Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Firman Allah yang bermaksud: ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

1. Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].

2. Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim[8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada dalam al-Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.


[1]Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.


[2]Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh. 

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 – laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.

[6]Surah al Mujadalah – ayat 11.

[7]Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699

[8]Hadis riwayat Ibnu Majah  – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah.  Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.


Sokong :

Namun begitu, terdapat juga sekumpulan ulama yang menyokong kata-kata tersebut adalah Hadis Rasulullah.

Berikut adalah hujah mereka:

“Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, kerana sesungguhnya menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim”.
Nas di atas adalah matan dari hadis dhaif tetapi diriwayatkan melalui banyak sanad, antaranya Imam Baihaqi dalam kitab Syi’bul Iman. Ahli hadis menyatakan di antara perawi hadis tersebut adalah Abu ‘Atikah yang dikatakan oleh ulama’ hadis sebagai perowi dhaif, sehingga muncul banyak pendapat dalam menilai hadis ini sebagai hadis dhaif, batil atau tidak bersanad.
Namun demikian, menurut al-Hafiz al-Mazi : kerana hadis ini memiliki banyak jalan (sanad), maka dari dhaif naik ke darjat Hasan Lighoirihi. Oleh kerana itu tidak boleh bagi kita mengatakan bahwa itu bukan hadis.
Untuk Pendetailan yang menyatakan Kata-kata tersebut sebagai Hadis, klik sini. (Al-Ghari) 


Khulasah:


Saya lebih cenderung dengan penghujahan daripada kumpulan yang menyokong kata-kata tersebut sebagai hadis. Namun, sekiranya kata-kata tersebut bukan hadis sekalipun, saya tetap mengambilnya (tanpa menyandarkan kepada Nabi) dan dijadikan sebagai kata-kata pembakar semangat saya dalam menuntut ilmu.


Kita lihat semula matan hadis / teks kata-kata tersebut.


"Tuntutlah Ilmu Walau Ke Negeri China"


Kata-kata ini secara tidak langsung membakar semangat kita untuk belajar dan berusaha mencapai ilmu walaupun:


1. Memperolehinya itu sukar
2. Mendapatkannya itu jauh


Tuntutlah ilmu sejauh mana kita mampu, setinggi mana kita boleh, dan sebanyak mana kita dapat perolehinya. Wallahua'lam. 


Segala kesilapan harap ditegur. Syukran & Sekian.

Share:

0 Komentar:

Copyright © Zahirul Nukman 2016. Powered by Blogger.

Selamanya Murabbi