Di Segenap Sudut Dunia, Ada Cerita Tersendiri.

Sunday, June 17, 2012

Seminar Penulisan : Sebuah Coretan

Rindu pada institut tempat aku pernah menimba ilmu sedikit terubat. Meski baru sebulan (4 minggu) aku tidak mengunjunginya, tetapi dengan hanya tempoh kurang 24 jam di sana, ia merupakan detik yang amat manis buat diriku.


Setelah beberapa kali ingin ke sana (ITQAN) tetapi gagal, maka dengan beralasankan ingin mengikuti Seminar Penulisan anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling (wadah untuk aku mengangkat nilai tambah diriku semasa di sana), maka kali ini aku tekad untuk ke sana.

Atas dasar ukhuwah dan dakwah, maka aku ke sana.

Pagi yang hening di ITQAN.


Seminar Penulisan ini (jika tidak silap) merupakan seminar penulisan kali kedua yang pernah diadakan di Institut. Seminar kali pertama (tak ingat tahun bila) menampilkan dua penulis prolifik, Puan Nisah Haron dan Sdr. Faisal Tehrani. Untuk seminar kali ini, pihak UBK menampilkan Ustaz Muhadir Hj Joll (Kolumnis Majalah Q&A) dan Sdr. Zaid Akhtar (Novelis Salju Sakinah).

Ustaz Muhadir Hj Joll : Slot Pertama

Ustaz Zaid Akhtar : Slot kedua & ketiga.

Alhamdulillah, aku berjaya mengikuti hanya 2 slot sahaja, iaitu slot Penulisan dan Dakwah oleh Ustaz Muhadir Hj Joll dan slot Teknik Penulisan Cerpen oleh Ustaz Muhammad Yazid Abd Majid (Zaid Akhtar). Slot ketiga yang turut dibawa oleh Ustaz Zaid Akhtar tidak aku ikuti kerana ingin bergegas ke Seremban. (Almaklumlah naik bas. kuikuikui)


Berikut merupakan antara quotes&notes yang saya perolehi di sana. :)

1. Dakwah itu rencam sifatnya, luas medannya. Namun ia adalah wasilah. Matlamatnya adalah Islam,.

2. Tujuan menulis: (1) Amar Makruf Nahi Munkar : Tuntutan yang utama, yang perlu dilaksanakan oleh setiap daie, yang perlu ditengahkan oleh setiap penulis Islam dalam penulisan mereka. (2) Membina Insan Ulul Albab : Manusia yang sentiasa berzikir dan berfikir (Surah Ali Imran : 191)

3. Fungsi Menulis Karya Kreatif : (1) Karya Islami sebagai Model, (2) Karya Islami sebagai Alternatif, (3) Karya Islami sebagai Perisai.

4. Prasyarat Menjadi Penulis : (1) Kenal Dahulu Penulis Malaysia, (2) Kenal Dahulu Karya Penulis Malaysia.

5. Pentingnya penulisan dengan dakwah Islam kerana tanpa penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah dan para Sahabat, maka Islam tidak akan sampai kepada kita.

6. Abdullah ibn Umar r.a berkata: Kami tidak pernah berbhong dan kami tidak pernah kenal erti bohong

7. Tiada yang KEBETULAN dalam dunia ini kerana semuanya telah diTAKDIRkan Allah s.w.t.

8. Tempat terbaik di Dunia ialah Masjid, Tempat terbaik di dalam Masjid ialah Saf Pertama, Tempat terbaik pada Saf Pertama ialah Solat, Tempat Terbaik di dalam Solat ialah Sujud.

9. Imam Zuhri (Guru kepada Imam Malik) paling benci melintasi Pasar. Pasar adalah antara tempat paling disukai Syaitan. Sekiranya Imam Zuhri melintasinya, maka beliau akan menutup telinga dan mata sambil dipimpin oleh khadamnya. Beliau menutup telinga kerana risau apa yang didengarinya di sana akan diingatinya ekoran dari ingatannya yang amat kuat.

10. Orang Arab mempunyai ingatan yang cukup kuat. Namun, dalam ilmu Hadith, Imam Bukhari (yang bukan orang Arab) mengungguli gelaran Rais al-Muhaddithin, kerana beliau mendahului dalam aspek penulisan yang banyak, amalan dan hati yang baik.

11. Terdapat banyak Mazhab Fiqah di dunia ini (lebih seratus mazhab). Namun yang paling terkenal adalah Mazhab yang Empat. Mazhab yang Empat terenal kerana: (1) Imam Mazhab mereka menulis sendiri pandangan mereka, (2) Anak Murid mereka menulis pandangan daripada mazhab tersebut.

12. Di Malaysia, majoriti rakyat bermazhab (1) Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asha'irah - Akidah, (2) al-Shafi'iyah - Fiqah, (3) Hafs daripada Aasim - Qiraat al-Quran, (4) Masyrab Imam Junaid Al-Baghdadi - Tasawuf.

13. Melihat wajah orang salih, hati akan tenang dan beroleh barakahnya.

14. Hidup sepanjang zaman, bukan hidup pada satu zaman sahaja.

15. Panjang Umur ada 2 maksud : (1) Umur yang memang dipanjangkan, (2) Umur yang berkat hasil ilmu yang diajari, kitab yang ditulis dan jasa yang dikenang.

16. Saidina Ali bin Abi Talib berkata : Setiap penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.

17. Mufti yang tidak mempunyai pakaian Mufti pada hari Jumaat, diharuskan untuk tidak datang solat Jumaat. Ini bertujuan agar (1) mengelak daripada fitnah, (2) dipandang kurang thiqah oleh jemaah, (3) mengelakkan daripada ilmunya diperlekeh.

18. Di Fathani (Pattani), tok guru yang memakai seluar dipandang kurang thiqahnya. Sebab itulah mereka mengenakan serban dan jubah pada tubuh mereka.

19. Pada pakaianmu ada Izzah, maka peliharalah apa yang kamu pakaikan pada tubuhmu.


Dedikasi:
Tahniah kepada Kak Aishah Ismail (Pengarah Program) di atas penganjuran Seminar Penulisan ini. Terima kasih kerana mengundang. Tahniah juga kepada AJK Pelaksana program. Tahniah kepada Persatuan Kebajikan Siswa & Siswi ITQAN, Unit Bimbingan & Kaunseling ITQAN dan Persatuan Bahasa ITQAN. Terima kasih buat murabbi, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz Zaid Akhtar, dan Ustaz Amiza Khusyri Yusof.

------------------------------

Oh ya, sebelum terlupa, semasa sesi seminar dijalankan, Alhamdulillah saya memperoleh hadia berupa Novel Bukan Legasi Lalang karya Sri Rahayu Mohd Yusop daripada Ustaz Zaid Akhtar kerana berjaya menjawab soalan. Di akhir slot kedua pula saya sempat membeli Novel terhad (Ustaz Zaid Akhtar bawa 2 buah sahaja), Novel Sesegar Nailofar.

Sesegar Nailofar.

Bukan Legasi Lalang

Kedua-duanya sehingga coretan ini ditulis, saya belum membacanya. Belum punya waktu yang sesuai. Apa-apapun, kenangan terindah di ITQAN kali ini akan disemat di hati.

Sekian, wassalam.

Share:

0 Komentar:

Copyright © Zahirul Nukman 2016. Powered by Blogger.

Selamanya Murabbi