Konvensyen Fiqh Ummah 2012 : Resolusi

Berikut saya jumpa dari sebuah blog. Dah lupa linknya. *maaf.



Moga kita peroleh manfaat bersama. :)


RESOLUSI KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012

UMUM
Wasatiyah yang dimaksudkan dalam konvensyen ini adalah sesuatu metode kefahaman ilmu dan pengamalan beragama yang paling adil dan terpilih bersandarkan Al-Quran dan Sunnah berdasarkan situasi semasa tertentu.

Manhaj atau metod wasatiy amat perlu didokong oleh umat bagi memastikan kejituan dalam kefahaman ilmu Islam, mengurangkan pergeseran di kalangan sebahagian ulama dan umat Islam, merapatkan ukhwah serta membenihkan kasih sayang sesama Muslim.

AQIDAH
Wasatiyah dalam aqidah adalah Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah (merangkumi Salafiyah, Asha'irah, Maturidiah) yang bersumber dari nas Al-Quran dan Hadis yang sahih sambil menyedari bahawa kefahaman teks Al-Quran dan Hadis boleh membawa kepada pembahagian ilmu aqidah kepada Usul dan Furu' (cabang).

Umat Islam diwajibkan bersatu di atas Usul Aqidah namun dibenarkan berbeza tafsiran di dalam hal furu'. Dengan itu, konvensyen menekankan umat Islam agar mendalami ilmu Usul Aqidah dan mengurangkan perdebatan dalam hal ehwal cabang aqidah.

IBADAH
Wasatiyah dalam ibadah merupakan tanggungjawab dan tugas asas umat Islam dalam kepelbagaian pensyariatan hukum-hakam dengan memurnikan wawasan ukhrawi tanpa melupakan keperluan duniawi yang menjadi alat kebahagiaan di akhirat.

Perlaksanaan ibadah meraikan keadaan dan kemampuan manusia dan perbezaan situasi mereka serta meraikan aspek-aspek kemudahan dan keringanan dalam pensyariatan.

Persoalan bida'ah dalam ibadah terdedah kepada pelbagai tafsiran, justeru perlu diperhalusi pengertiannya dengan lebih teliti agar tidak dijadikan sebagai mediun kafir-mengkafir dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Wasatiyah dalam ibadah zakat merangkumi ketelusan pentadbiran, mengelakkan penyalahgunaan, kaedah pengagihan yang lebih efektif dan sebarang bentuk penyalahgunaan sumber demi kepentingan individu mahupun kumpulan tertentu.

Meraikan pandangan dari pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan serta mengelakkan salah faham dan kekeliruan isu zakat. Bersifat lebih terbuka dalam menangani permasalahan dan keperluan asnaf serta memelihara maslahat muzakki.

DAKWAH
Wasatiyah dalam dakwah adalah yang dilakukan secara berhikmah sambil meraikan kepelbagaian latar belakang mad'u, persekitaran dan kesesuaian teknik dakwah, menjinak hati serta tidak menghukum.

Pun begitu, kandungan dakwah adalah sama iaitu membawa diri pendakwah sendiri dan masyarakat (mad'u) untuk hampir kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati syariah Islam.

Juga disedari, dakwah kepada Islam memerlukan pendakwah dari pelbagai bangsa dan ia pula bukan bererti membawa mad'u kepada identiti bangsa dan kumpulan tertentu.

KEWANGAN DAN EKONOMI
Wasatiyah dalam ekonomi dan kewangan adalah menerima sistem dan matawang yang sedia ada sambil menegaskan usaha untuk memahamkan umat Islam berkenaan ilmu dan sistem muamalat Islam adalah menjadi keutamaan.

Konvensyen juga menegaskan sokongan terhadap usaha memantapkan muamalat Islam sama ada melalui sistem perbankan Islam terkini atau pengenalan sistem matawang Emas. Dengan menolak sebarang pendekatan meremehkan kedua-dua usaha tadi. Namun usaha penambahbaikan mesti diteruskan demi kemaslahatan umat Islam.

TURATH
Wasatiyah dalam khazanah dan karya ulama silam adalah mengiktiraf kepentingannya dalam memahami nas syarak dan menjadi asas kepada perkembangan intelektual umat Islam kini.

Juga ditegaskan ilmu alat bahasa Arab dan pemahaman terhadap terminologi khas, konteks karya tersebut dihasilkan adalah sangat penting dalam memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis.

Juga disedari bahawa sebahagian kesimpulan yang terdapat di dalam khazanah silam berkemungkinan kurang menepati suasana, penemuan dan kajian semasa, justeru ia terbuka dan memerlukan kepada proses pembaharuan melalui ijtihad ulama kontemperori.

TAZKIYAH AN-NAFS
Mengiktiraf kepentingan 'penyucian jiwa' bagi mencapai kemuliaan akhlak, ketinggian iman dan kejituan ibadah yang merupakan tuntutan terbesar di dalam diri setiap individu muslim.

Juga, konvensyen menetapkan bahawa kaedah, jalan dan caranya mungkin berbeza di antara satu dengan yang lain, namun yang terbaik adalah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

POLITIK
Konvensyen menekankan peri pentingnya politik dalam Islam dengan tidak mengambil ruang ekstrem menjadikannya sebagai lapangan kafir-mengkafir, menyesat dan menzalimi sesama umat Islam.

Juga menyeru umat Islam untuk berpegang kepada politik yang berpaksikan prinsip, hujah, moral dengan berlandaskan ukhwah.

Persaingan sihat di dalam politik berdasarkan kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik adalah untuk kemaslahatan umat berteraskan maqasid syariah tanpa menggadaikan nilai-nilai akhlak di dalam Islam.

PENGAJIAN AL-QURAN
Al-Quran adalah kitab Allah yang wajib difahami sebagaimana kehendak Allah, menurut kemampuan akal manusia dengan bersandarkan sunnah Rasulullah, athar para sahabat dan tafsir para ulama muktabar.

Ilmu-ilmu yang merangkumi Qira'at, Tajwid, Tafsir Al-Quran dan yang berkait dengan Al-Quran adalah satu disiplin ilmu tersusun yang mempunyai tuntutan tersendiri. Kelayakan ilmu dalam bidang ini sangat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam memahami nas Al-Quran. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Ini pula adalah titipan nota dari blog ini.:>
(http://zaizulazizi.wordpress.com/2012/02/19/konvensyen-fiqh-ummah-2012-sekalung-penghargaan/)



Wasatiyyah:
Wasatiyyah bukan sekadar bermaksud kesederhanaan, malah sama sekali tidak bermaksud memberi ruang kompromi dalam perkara yang telah thabit, hukum yang telah pasti dan pegangan yang telah muktamad.
Wasatiyyah juga memberi makna terbaik, paling hampir dengan sunnah Rasulullah, terpilih dan Islam itulah jalan wasatiyyah. Ekstreme dalam melebih-lebihkan dan juga terlampau bermudah-mudah bukanlah jalan wasatiyyah.
Wasatiyyah dalam Aqidah:
Jalan wasatiyyah mengambil berat kepada kesepakatan dalam perkara usul aqidah, dan berlapang dada dalam isu “furu’/cabang” dalam aqidah. Perbezaan dalam perkara furu’ tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan apatah lagi mengkafirkan.
Wasatiyyah dalam Dakwah:
Pendekatan wasatiyyah memberi penekanan kepada “dakwah bil hikmah” dalam ertikata hikmah yang sebenar. Hikmah bukan semata-mata lembut, tetapi yang lebih tepat ialah “cara yang terbaik yang paling sesuai dengan keadaannya/realiti/waqi’”
Wasatiyyah dalam Turath/khazanah ilmu warisan Islam:
Pendekatan wasatiyyah di sini mengiktiraf dan menghargai warisan ilmu Islam dan jasa para alim ulama lampau. Warisan ini perlu sentiasa dirujuk oleh mereka yang mendalami ilmu agama. Adapun, disiplin-disiplin dan metodolgi yang benar adalah amat perlu dalam berinteraksi dengan kitab-kitab turath, dengan mengambil kira tiada ulama yang maksum disamping adab-adab apabila membincangkan kelemahan dan membuat pembetulan di mana yang perlu.
Wasatiyyah dalam Muamalah Harta
Pendekatan wasatiyyah mengiktiraf kewujudan institusi kewangan hari ini dan juga penggunaan wang kertas “fiat money” di samping menerima kelemahan yang ada. Usaha pembaikan dan pengenalan sistem mumalah Islam perlu dibuat secara berterusan, disamping pengenalan sistem alternatif seperti dinar emas.
Wasatiyyah dalam Penyucian Jiwa
Mengambil kira aliran-aliran tasawuf yang bersumber kepada nas yang sahih. Adapun, keramat, wali, ilham dan  mimpi tidak boleh diambil sebagai hujah atau sumber hukum.
Wasatiyyah dalam Ibadah:
Ibadah dalam ertikata yang luas, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan tanpa meringan-ringankan sebarang tuntutan yang wajib dan berlebih-lebihan dalam mengejar redha Allah.
Wasatiyyah dalam kefahaman teks al-Quran dan Hadith:
Keperluan kepada disiplin dan metodologi yang benar dalam mengambil pengajaran dan beramal dengan teks al-quran dan hadith.
Wasatiyyah dalam Siasah/Politik: 
Kepentingan adab dalam berpolitik. Matlamat akhir politik adalah menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama.
Wasatiyyah dalam gaya hidup:
Gaya hidup Islam yang wasatiyy/moderate dalam ruang lingkup hukum syarak, tanpa berlebih-lebihan dalam keduniaan atau langsung menolak kesenangan dunia.



---------------------------------------------------
=) sekadar coretan nota. ^^
wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan