Di Segenap Sudut Dunia, Ada Cerita Tersendiri.

Friday, January 11, 2019

Transkrip Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dublin, Ireland.



Transkrip Ucapan Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Dalam program "An Evening with Tuan Guru" bertempat di Limerick Suite Lucan Spa Hotel Dublin pada 22 Disember 2018.

=======================

Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahillazi hadana lihaza wama takuna lanahtadiya laula hadanallah. wassolatuwassalamu ala rasulillah wa ala alihi wasohbihi wa man tabiahu wanasarahu wawalah, amma ba'du

A'uzubillahi minassyaitanirrajim

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (Surah al-Maidah: 54-56) 

Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agama Islam, maka Allah akan memunculkan, akan melahirkan satu kumpulan di kalangan kamu orang yang beriman itu, yang ciri-ciri atau sifat-sifatnya mereka mencintai Allah, dan Allah mencintai mereka - dengan makna menegakkan Islam yang menyeluruh bagaimana yg diajar oleh Allah kepada Nabi-Nya Muhammad sollahu alaihi wassalam yang dikasihi, mereka merendah diri kepada orang yang beriman, dan menunjukkan keperkasaan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka sanggup berjihad - bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itu semua adalah kelebihan yang Allah berikan kepada sesiaapa yang dikehendaki, dan Allah maha luas kurnianya lagi maha mengetahui. 

Sesungguhnya yang memimpin kamu ialah Allah dan Rasul-Nya, dan org yang beriman kerana sifat mereka itu mendirikan solat - berhubung dengan Allah, menunaikan zakat - melaksanakan konsep ekonomi yang adil, dan mereka tunduk kepada Allah.

Dan sesiapa yang berwalikan (atau) menjadikan Allah, Rasulnya, dan orang-orang beriman seperti itu sebagai pemimpin-pemimpin, maka sesungguhnya kumpulan itulah yang dijanjikan kemenangan oleh Allah, di dunia dan akhirat. 

Yang dihormati Pengerusi Majlis, Ketua Kelab atau Cawangan PAS Ireland, Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar, yang saya kasihi muslimin muslimat yang dirahmati Allah.

Ayat ini merupakan satu amaran yang keras daripada Allah subhanahu wataala, khusus kepada orang yang beriman dan kepada manusia seluruhnya yang menolak Islam.

Islam adalah satu-satunya petunjuk Allah kepada seluruh alam, bukan sahaja kepada manusia. Allah yg kita puji dan puja dalam tiap-tiap rakaat sembahyang,

"الحمدلله رب العالمين"
(Maksudnya) Segala puji bagi Allah, Allah Tuhan yang layak diibadatkan kepadanya,

"رب العالمين"
(Maksudnya) yang mencipta, menjadikan, mengurus alam dengan peraturan-peraturannya. 

Kepercayaan kepada Allah menjadi naluri ataupun tabii sifat semulajadi manusia - sama ada yang Islam (dan) yang bukan Islam - yang bertamadun termasuk yang jakun di rimba - buta huruf, termasuk kalangan aties, bila terdesak (dia) percaya adanya tuhan.

Tuhan yang diyakini adanya itu bukan sahaja menjadikan alam, bahkan Allah memberi petunjuk kepada alam ini dengan ajaran yang dinamakan Islam.

Kita penganut Islam, diajar supaya tiap-tiap rakaat sembahyang, berdoa:

"اهدنا الصراط المستقيم"
(Maksudnya) Tunjukkanlah kami jalan yang betul.

Mengapa perlunya kita berdoa ditunjuk jalan yang betul, selepas kita yakin menjadi orang Islam? Mengapa perlunya? Kerana kehidupan dunia ini sangat mencabar. Semua kumpulan mengaku dia betul, tak ada yang mengatakan yang dia tidak betul, bukan sahaja kita orang Islam mengakukan kita betul, yahudi kata yahudi betul, kristian kata kristian betul, buddha kata buddha betul, hindu kata hindu betul, komunis kata komunis betul, termasuk iblis dan syaitan, orang puak penyamun kata dia betul. Tak ada yang mengaku dirinya salah.

Tapi hendaklah sedar bahawa :

"الحق من ربك، فلا تكونن من الممترين"
(Maksudnya) Kebenaran itu daripada tuhanmu, jangan kamu termasuk dikalangan orang-orang yang ragu dan syak.

Allah yang menjadikan manusia, sebahagian (daripada jenis) makhluk, yang diciptakan untuk mentadbir bumi. Bumi tak mungkin ditadbir oleh malaikat. Tak mungkin ditadbir oleh binatang dan makhluk-makhluk yang lain. Malaikat bersifat rohani, spiritual. Binatang bersifat hawa nafsu, tak ada akal. Kayu dan batu tak bergerak. Manusia punya sifat-sifat Ruh, Jasad, dan Aqal, hidup bermasyarakat.

Maka Allah jadikan makhluk (bernama) manusia ini bukan sahaja beribadat kepada Allah, mereka mesti mentadbir dan mengurus dunia. Bukan sahaja mengurus diri, keluarga dan masyarakat, (tetapi) termasuk mengurus makhluk-makhluk yang lain yang ada di bumi, daripada galiannya, tanamannya, binatangnya, dan sebagainya. Itu tugas manusia.

Dan Allah melantik rasul-rasul, bermula dengan Adam alaihissalam, ditutup dengan Muhammad sollahualaihiwasalam. Semua rasul-rasul ini membawa ajaran Islam, tak ada rasul (beragama) Yahudi dan Kristian.

Nabi Isa adalah Islam, Nabi Musa adalah Islam. Tidakkah Israk dan Mikraj menunjukkan bagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul itu berimankan Muhammad sallallahu alaihi wasallam lebih dahulu. Menunjukkan bahawa sembahyang mereka, Islam mereka, satu saja. Tak ada sembahyang yang meniup serunai, menggosok piala, mengetuk gendang, itu direka kemudian. Semua rasul-rasul ibaratnya satu.

Hukum syariat berbeza kerana zaman yang berbeza masyarakat yang berubah, situasi dan realiti yang berlainan. Untuk manusia akhir zaman Allah melantik Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wasallam, diutuskan kepada seluruh alam sebelum dihancurkan dunia dengan berlakunya kiamat.

Allah Taala mengurniakan sedikit ilmu kepada manusia, kemuncaknya kemajuan sains dan teknologi sehingga dunia yang luas dan besar ini boleh berhubung dengan cepat dalam satu masa bukan macam zaman dulu, tiap-tiap kaum (satu) rasul, (tiap-tiap) zaman (satu) rasul, adapun untuk akhir zaman ini seorang rasul saja. Diberitahu kelahirannya dalam Taurat, dalam Injil Bible, dalam Veda agama Hindu dan kitab-kitab agama lain.

Rasul ini dilahirkan di lembah Wadi ghairi Zar'in, lembah Mekah yang tak ada air, yang tak ada tanam-tanaman, tak ada hidupan. Binatang tak berani tinggal di situ. Di situlah Allah memerintahkan Ibrahim - orang-orang Kristian menyebut Abraham, orang Hindu menyebut Brahma - semua percaya kepada Ibrahim tapi mengikut ajaran masing-masing. Allah Taala menyebut

 مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
 (Maksudnya) Ibrahim bukan seorang Yahudi bukan seorang Kristian. Ibrahim seorang muslim, dan Ibrahim bukan menganut agama musyrikin.

Semua penganut agama mempunyai ibrahim alaihissalam. Nabi Ibrahim ini Allah taala perintah meletakkan Ismail di bumi Mekah yang kering, tujuannya untuk melahirkan nabi akhir zaman, Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dikurniakan kepadanya mukjizat ilmu, al-Quranul Karim mukjizat ilmu. Berbeza dengan mukjizat rasul rasul terdahulu.

Mukjizat ni perkara luar biasa untuk mencabar penentang-penentang rasul. Nabi Nuh dengan taufan yang besar. Ibrahim ketahanan dicampak dalam api yang besar, tidka hangus. Musa dengan tongkatnya, Isa alaihissalam menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit yang tak mungkin diubati oleh ilmu perubatan. Itu mukjizat. Adapun yang dipanggil Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dikurniakan mukjizat ilmu al-Quran al-Karim Allah menyebut:

 وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
(Maksudnya) Dan jika sekiranya kamu syak, kamu meragui terhadap apa yang telah kami turunkan al-Quran ini kepada hamba kami Muhammad sallallahu alaihi wasallam, sila kamu ciptakan satu surah sepertinya. Panggillah penolong-penolong kamu, sama ada tuhan tuhan yang lain daripada Allah, pemimpin-pemimpin yang kamu puja sangat bijak, segala ilmuan kamu, panggil mereka semua, buat satu surah macam Quran. Jika kamu adalah orang yang benar.

Maka kamu tidak akan dapat melakukannya. Dan kamu tidak akan dapat melakukannya, takutlah kamu akan dari neraka, di mana umpan bahan bakar api ini adalah manusia dan batu-batu disediakan untuk mereka yang melawan. Melawan apa? Melawan al-Quran.

Al-Quran diturunkan di Mekah. Nabi mengajarkan generasi awal umat Islam. Beberapa orang sahabat yang ajar di Mekah. Apabila penduduk Mekah mendapat Nabi untuk memimpin dengan al-Quran, mereka sanggup lantik nabi jadi raja jadi pemimpin nak bagi harta kekayaan. Nabi tolak, tak terima kerana mereka mahu dikekalkan dasar sistem konsep jahiliah yang lalu. Nabi mahu tegakkan petunjuk Allah dengan Quran, mereka menolak. Akhirnya orang Madinah tiru. Di Madinah Nabi menegakkan sebuah kerajaan dimulakan dengan masjid, pasar. Masjid dengan pusat ibadah, pusat ilmu dan pusat pentadbiran, pasar pusat kegiatan ekonomi melibatkan masyarakat majmuk orang Islam muhajirin dan Ansar. Muhajirin penduduk asal Mekah. Ansar - Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah.

Diajak orang-orang Yahudi, kaum kaum Yahudi pelbagai kabilah: bani Quraizah, bani Nadir, bani Qainuqa' dan sebagainya dan mereka memerlukan pemimpin. Mereka berperang sesama sendiri, penganut Kristian dalam keadaan yang sesat, paderi-paderi menyalahgunakan agama. Kaum musyrikin lebih teruk. Disaat Itulah, muncul Muhammad sollallahu alaihi wassalam dengan mukjizat ilmu al-Quranul Karim yang telah berjaya. Mendidik generasi awal dengan pembangunan insan, pembangunan manusia dengan ilmu, menunjukkan bahawa untuk membina sebuah negara bukan dengan ekonomi sahaja, bukan dengan politik sahaja, bukan dengan sains dan teknologi saja.

Semua teori ideologi mengatakan kalau nak maju, dengan ekonomi, nak maju, dengan teknologi tapi Allah mengajarkan dengan ilmu dahulu membina manusia rohnya jasadnya akalnya dengan petunjuk Allah kemudian manusia mentadbir dirinya, mentadbir bahan-bahan yang ada di bumi dengan petunjuk Allah subhanahu wa ta'ala yang memakmurkan manusia bukan merosakkan.

Nabi telah mengajar selama 23 tahun setelah disempurnakan Quran dilahirkan generasi awal para sahabat yang mampu memimpin bukan saja jadi imam sembahyang termasuk memimpin negara. Dimatikan Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wasallam tapi ilmu ni tak mati, Quran tak mati. Allah taala telah pelihara al-Quran. Nabi Muhammad sudah mati, berlakulah peristiwa murtad. 

Kabilah-kabilah Arab yang masuk Islam dengan sikap oportunis, bukan benar, munafiq, mengambil kesempatan murtad keluar daripada agama islam disokong oleh kuasa besar Parsi dan Rom yang mengganggap ini ancaman kepada kedudukan mereka. Islam yang adil untuk semua yang baik untuk semua pada awalnya diterima untuk memerintah negara masyarakat majmuk manusia masuk Islam berduyun-duyun baiknya Islam adanya Islam rahmatnya Islam ini mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan taqwa berkonsepkan beriman kepada Allah tidak ada pemimpin dan raja berani mengatasi undang-undang. Beriman kepada hari akhirat walaupun ada kuasa boleh tipu rakyat di atas dunia ada lagi alam kubur ada lagi alam akhirat dihukum oleh Allah.

Ini diajar oleh al-Quranul Karim, adil untuk semua, rahmat itu kekal.

Nabi diwafatkan, para sahabat yang dicipta ilmunya daripada petunjuk al-Quran ini telah berjaya mematahkan kumpulan murtad.

Zaman Abu Bakar, kumpulan murtad ini dikalahkan dan berjaya mengembangkan Islam sehingga meraih parsi dan Rom.

Zaman Umar al-Khattab radhiyallahu and Parsi dan Rom tumbang Islam berkembang sehingga ke Asia tengah, hingga ke India ke sepanyol utara Afrika, Afrika tengah. Apa yang menakjubkan mana-mana negeri yang Islam masuk memerintah, rakyat berduyun-duyun masuk Islam bukan dengan paksaan. Islam tak paksa orang masuk Islam. yang pertama kamu masuk Islam, yang kedua kamu terima pemerintahan Islam. Tak apa tak masuk Islam, terima pemerintahan Islam ini.

Semua negeri yang Islam masuk ranap (agama lain). Lihat jalan sutera daripada Arab sehingga Xinjiang di China itu kawasan yang Islam lalu. Asia tenggara, wilayah kita nusantara ranap Hindu dan Buddha. Namun masih ada lagi saki baki penganut agama lain. Di Mesir masih ada gereja gereja Kristian ortodoks koptik di Syria masih ada penganut Kristian di Iran masih ada penganut majusi, di Indonesia masih ada Hindu lagi, masih ada kuil menandakan Islam tidak memaksa orang masuk Islam tetapi ditunjukkan Islam itu adil dan baik.

Bila berlaku penyelewengan, orang selamatkan Islam. Bila Nabi wafat, berlaku peristiwa murtad selepas berkembang zaman para sahabat. Zaman abbasiyah berlaku gerakan penterjemahan buku-buku bahasa asing kerana Islam bukan saja mengiktiraf manusia termasuk mengislamkan ilmu pengetahuan, ilmu duniawi parsi Rom China India diambil oleh islam diterjemah dan dimasukkan roh dan iman kepada Allah. Terciptalah tamadun Islam yang memakmurkan bumi bila berlaku gerakan-gerakan penterjemahan di zaman abbasiyah termasuk yang diterjemah itu buku-buku falsafah, Falsafah Greek, Yunani, Parsi dan India menyebabkan ramai kalangan orang Islam terpengaruh dengan falsafah. Maka lahirnya ilmu untuk mengkaji ketuhanan menggunakan akal. Kita tak mampu nak kaji Tuhan dengan akal nak kaji ciri manusia dengan akal pun tak capai semua. Bagaimana mata kita dapat melihat telinga kita mendengar otak boleh berfikir tak mungkin boleh mencapai hakikat ini

 وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
(Maksudnya) Dan pada diri kamu adakah kamu tidak melihat kekuasaan Allah subhanahu wa Ta'ala.

Tak mungkin kita nak kaji tentang Tuhan maka lahirlah fahaman fahaman muktazilah, jabariah, qadariah membincangkan qada dan qadar Allah menggunakan akal sehingga tidak menghormati Allah subhanahu wa Ta'ala.

Maka muncul apa yang merisaukan ialah mazhab-mazhab yang sesat ini dianut oleh Khalifah-khalifah Abbasiyah. Islam tidak mati. Munculnya kumpulan Islam mempertahankan Islam. Khalifah yang sesat dijatuhkan pada akhirnya.

Di akhir, Kerajaan Abbasiyah datang kaum tartar menyerang Baghdad. Buku-buku yang ditulis oleh ulama Islam dimusnahkan. Allah taala tidak mematikan Islam. Islam bangkit semula.

Kemudian ringkas cerita di zaman mutaakhir tanah air umat Islam dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Mereka membahagi-bahagikan negeri Islam sesama mereka, setelah mereka menakluk mereka tahu Islam ni baik, bahkan tamadun barat Itu pun ciplak daripada tamadun Islam. Mereka mengambil ilmu duniawi mereka meninggalkan akidah syariat dan akhlak.

Kita melihat tamadun barat pada hari ini mengalami kemerosotan walaupun mereka maju. Segala yang hidup di Eropah lihat sebagaimana masyarakat mereka boleh runtuh pada hari ini keluarganya runtuh sehinggakan ada orang tua serah wasiat bagi ke anjing.

Macam-macam cerita berlaku di Eropah. Di Ireland ni negara berkebajikan, welfare state sangat hebat, ada orang bunuh diri. Kenapa? Kerana makanan perutnya ada, makanan roh dan akalnya tidak ada.

Yang merangkumi semua ialah Islam. Namun mereka tak mahu Islam dikembalikan. Kerana mereka mahu menguasai dunia yang tak ada akhirat. Tak fikir tentang akhirat, kebajikan untuk manusia, fikir untuk mereka sahaja.

Bina Islam memerintah negeri negeri lain, Islam memakmurkan semua negeri. Mereka (Barat) menjajah negeri-negeri lain, mereka memperhambakan rakyat di dalam negara. Hasil-hasil negeri bawa pulang negeri mereka.

Namun orang Islam mengalami zaman uzur, zaman tua. Allah taala menjadikan kerajaan mengikut Ibn Khaldun macam manusia juga. Zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, zaman tua, zaman nyanyuk. Jatuh kemudian naik pula. Tuhan jadikan umur kerajaan pusingan.

Kita mengalami pusingan pemerintahan Islam yang lemah, sehinggakan tanah air orang Islam dijajah. Namun mereka gagal menghapuskan agama Islam. Walaupun tak ada Nabi Muhammad SAW, Allah taala melahirkan kumpulan yang meneruskan ajaran Islam, yang menegakkan ajaran Islam. 

Kejatuhan Melaka 1511 yang dirayakan oleh Vatican City sebenarnya orang Islam tidak menyerah kalah dengan kejatuhan Melaka sehingga rumpun-rumpun bangsa Nusantara - Jawa, Bugis, Banjar, Bandahilir, Minangkabau berkumpul di Tanah Melayu untuk menentang penjajah Portugis. Tetapi sejarah ni dinafikan, tak diajar di sekolah.

Almarhum Profesor Haron Din ada tulis buku tentang ini. Sebab itulah di Tanah Melayu ada bermacam rumpun. Mereka datang ke situ bukan untuk tanam kelapa, (tetapi) untuk menentang penjajah, untuk menguatkan Islam ini walaupun penjajah melakukan gerakan missionary untuk mengkristiankan orang Islam, membaratkan orang Islam, mereka gagal. Mereka melakukan gerakan membaratkan orang Islam. Tak apa tak masuk Kristian, kekal dengan Islam tapi ikut Barat. Sebahagiannya ikut Islam, sebahagian perkara ikut Barat.

Sembahyang, zakat, puasa, haji ikut Islam, masalah hidup tak ada ikut Islam. Tak ada, jahil, bebal menyebabkan orang Islam dalam keadaan lemah namun kuasa-kuasa Barat itu gagal menjatuhkan orang Islam kerana Allah taala munculkan kumpulan yang mempertahankan Islam.

Di rantau kita, para ulama menubuhkan jemaah Islam di Pulau Penyengat di abad yang ke-17 untuk menentang penjajah. Kemudian di abad 20, mereka menubuhkan Sarekat Islam di Indonesia. Cawangannya di seluruh alam melayu. Diharamkan oleh British Tanah Melayu, ditubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya menggabungkan kumpulan Islam, nasionalis dan kiri di kalangan orang Melayu untuk menentang penjajah. Kemudian timbullah kumpulan-kumpulan lain sehingga kita mencapai kemerdekaan. Namun kefahaman Islam tak boleh dibanteras.

Saya tertarik satu penulisan yang mendedahkan bila berlakunya penentangan orang Islam terhadap penjajah khususnya penjajah British yang dianggap kuasa besar yang paling kuat dalam dunia ni, Gladstone Perdana Menteri British di zaman Queen Victoria dalam ucapannya di parlimen British mengatakan bahawa ini kajian yang dibuat orientalis - rahsia ketahanan orang Islam ialah 3 perkara. 

Yang pertama Al-Quran al Karim.
Yang kedua sembahyang Jumaat seminggu sekali.
Yang ketiga haji di Mekah al-Mukarramah.

Selagi ada 3 perkara ini orang Islam tak boleh dikalahkan.

Apa yang berlaku, Komunis ranap, Barat sedang merudum, orang Islam bangkit semula dan apa yang menarik pengaruh Islam berkembang dalam negara yang menjajah mereka di England, di Perancis, di Amerika munculnya kumpulan-kumpulan Islam bukan saja di negara orang islam. Ini sangat menarik dan ceritanya panjang tapi malam ni bukan untuk saya saja, ada perbincangan. Cukup sekadar itu. Walhamdullillah rabbilalamin.

-----------------------------------------------
Pentranskrip: Zahirul Nukman Narakna & Fuad Ahmad
24 Disember 2018
Share:

0 Komentar:

Copyright © Zahirul Nukman 2018. Powered by Blogger.

Selamanya Murabbi