Jalan Tengah : Mengapa Perlu Bermusuh?




Assalamualaikum w.b.t.
Sebelum memulakan titipan bicara, aku ingin memberitahu bahawa aku bukanlah mempunyai banyak pengetahuan, tetapi cukup dengan apa yang telah aku alami dan pelajari selama mana aku bernafas di bumi Allah ini. :)

Nak dijadikan cerita….

“Sesiapa yang menjumpai buku La Tahzan tulisan Dr Aidh Al-Qarni, sila pulangkannya dengan segera ke bilik ini”

Pernyataan berikut terpampang di papan notis bilik gerakan sebuah unit di Institut tempatku belajar. Bilik tersebut merupakan antara tempat lepakku untuk mengulangkaji, menelaah buku, dan bersantai.

Suatu tika, sahabatku, yang cukup aku perkenalkan beliau sebagai Fikar, memasuki bilik tersebut. Lalu, membaca pernyataan yang terdapat pada papan notis tersebut.

BERBALAS SOALAN

“Eh, Dr Aidh? Dr Aidh?” soalnya dengan soalan yang penuh persoalan yang mencurigakan. =.=’

“A’ah, Dr Aidh Abdullah Al-Qarni. Kenapa?” soalku. “Dr Aidh bukan ‘wahh’ ke?” soalnya. “Apa?” “Dr. Aidh bukan ‘Wahh’ ke?  Dia berasal dari Najd kan?” Aku cukup mengerti ‘wahh’ yang dimaksudkan beliau adalah Wahabi. Sebuah ideologi yang diasaskan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, yang bertujuan melakukan pembaharuan dalam Islam dengan ‘membasmi perkara bidaah dan khurafat’. Serius saya katakan, pertanyaannya itu betul-betul memeningkan kepala saya.

Aku menjawab, “Dia Salafi.”

“Wahh ke tak?”

“Dia Salafi”

“Oh, OK” dia membungkam.

Alhamdulillah. Dia membisu, meneruskan pembacaan terhadap bukunya. Jujur aku katakan, aku amat tertarik dengan perbahasan mengenai ideologi Salafi, Ahli Sunnah, Wahabi, Syiah, dan mana-mana fahaman lain.

PERBINCANGAN

Beberapa minit kemudian.
“Kalau dia Wahhabi sekali pun apa masalahnya dengan kau?” aku cuba bertanya.
“Bukan Wahhabi tu sesat ke?”

“Apa sebenarnya Wahhabi bagi kau?” tanyaku kepadanya.

“Wahhabi tu fahaman yang suka bidaah-bidaahkan orang. Buat itu salah, buat ini salah. Semua mahu dibidaahkannya. Contohnya, talkin, tahlil dan qunut pada solat Subuh. Semua mereka (golongan Wahhabi) ingin membidaahkannya.”

“OK, itu aku akui betul. Memang, memang mereka ini mempunyai pertelagahan di sesetengah pihak. Namun, cuba kita wasatiyyah sikit. Kita ambil jalan tengah. Jangan kita mengatakan mereka sesat, sedangkan kita sendiri tidak tahu mana satu yang benar, mana satu yang salah.

Cuba kau perhatikan, mereka ini hanyalah bertelagah dalam bidang Furu’ (cabang). Tidak mempertikai soal-soal Usul (dasar) Aqidah. Betul tak? Talkin, Majlis Tahlil, dan Bacaan Qunut hanyalah perkara Furu’. Mereka masih lagi berpegang pada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Cuma, mereka hanya berselisih dalam soal cabang. Mereka sering mengambil pendapat daripada ulama Mazhab Hambali, seperti Sheikh Ibn Taimiyah dan Sheikh Ibn Al-Qayyim Al-Jauziah. Dalam soal Qunut, segelintir mereka mengatakan ia adalah bidaah, sedangkan Imam Shafie rhm. sendiri tidak menagatakn ia adalah wajib. Imam Shafie hanya menetapkan ia adalah Sunnah. Jadi, kita tidak perlu membenci dan mengatakan mereka ini sesat.” jelasku kepada Fikar.

“Ya, aku tahu, mereka hanya mempertikai soal Furu’. Tetapi mengapa mereka selalu menghebah-hebahkan bahawa mereka benar dan mereka tepat? Siapa yang melanggar, dengan masih melakukan perkara-perkara kecil ini, dia sesat dan kafir? Kenapa?” soal Fikar dengan penuh hujah.

“Wasatiyyah-lah Fikar. Ya, aku akui mereka memang melakukan semua itu. Tetapi mengapa kau sendiri yang melenting? Apa mereka pernah mengganggu hidup kau? Apa mereka menyatakan kau kafir secara terang? Ya, masalahnya memang pada mereka. Mereka mengkafirkan Muslim lain. Menyatakan itu sesat dan ini sesat. Tetapi, cuba kita audit diri kita, sejauh mana kita berlapang dada dengan mereka? Sejauh mana kita cuba untuk membetulkan mereka?” Terangku dengan panjang lebar.
--------------------------------------------------------------@@------------------------------------------------------------------
Kita tentang bukan dengan emosi. Jangan kita asyik membangkang mereka, tetapi hakikatnya kita serupa dengan mereka. Menuduh mereka sesat, menafikan apa yang mereka bawa, dan mengatakan mereka ini kafir. Nah, kita memang menyerupai mereka ! Jadi, kita dan mereka adalah sama !

Tidak perlu bertengkar, menafikan itu dan ini, menambah ini dan itu. Kemudiannya, saling tuduh menuduh. Kenapa kita harus bermusuh? Sedangkan masing-masing antara kita telah diberikan tugasan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam Kalam-Nya, yang bermaksud:

“Dan hendaklah terdapat dalam kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (Dakwah mengembangkan syiar Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik (Amar Makruf), serta melarang daripada segala yang buruk (Nahi Munkar). Dan mereka yang bersifat demikian ialah golongan yang berjaya.”
(Ali Imran: 104)

Dalam ayat di atas, terdapat 3 tugasan utama umat Islam yang harus dilakukan di atas muka bumi ini, seiring kita ditugaskan sebagai Khalifah yang mentadbir dunia dengan Agama dan sebagai Hamba yang hanya mengabdikan diri kepada Rabb yang Esa, iaitu:

1. Dakwah (Seruan kepada kebajikan)
2. Amar makruf (Menyuruh kepada yang baik)
3. Nahi Munkar (Melarang daripada yang buruk)

Jadi, jalankan tugasan masing-masing dengan tanpa pertelagahan dan perbalahan. Ambil jalan tengah, jalan kesederhanaan dan pendamaian. Mengapa harus masih bermusuh? :)

p/s: meminjam idea Murabbi-ku: “Kalau fahaman Salafi (Wahhabi) ini tidak ada di Arab Saudi, tak tahu sekarang ini apa yang terjadi pada Makam Rasulullah s.a.w” – Aku merenung, dan memikir. Mungkin ada benarnya kata itu!



tambahan daripada yang asal:


Pilih jalan yang mendamaikan semua pihak. 
Tidak salah belajar Tauhid 3 Serangkai (Rububiyah, Uluhiyah, Asma Wa Sifat), tetapi kena juga belajar  Sifat 20. Ambil yang keruh, buang yang jernih. Jangan kita ambil perkara yang musyabbihat dan sampai menjisimkan Allah (Andainya fahaman tersebut hampir-hampir menjisimkan Allah). Kita pilih Jalan Wasatiyyah. :) . wallahua'lam.


NOTA: Saya akui, isu ini merupkan isu sensitif, Ia adalah Isu Akidah. Jadi saya mengharapkan tunjuk ajar daripada para pembaca semua. Perbetulkan mana yang saya salah. Sekian. 

Comments

IbnuNafis said…
Assalamu'alaikum,

mengambil jalan tengah (wasatiyyah) bukan bermakna kita menyetujui perbuatan mereka menghukum bid'ah sesat/kafir/syirik kepada ulamak dan umat Islam tanpa hak.

apa sahaja perbuatan, ucapan, mereka yang termasuk dalam unsur-unsur di atas maka kita perlu memperbetulkannya.

Berlapang dada dalam tulisan tuan itu boleh disalahfahami sebenarnya.

Jika kita berlapang dada dengan tuduhan bid'ah dholalah, kafir dan syirik ini bermakna kita mengesahkan apa yang dilakukan oleh mereka itu adalah benar dan dibolehkan oleh syarak. Sedangkan perbuatan berkenaan adalah bercanggah dengan al Quran dan As Sunnah.

Tulisan saudara :

Cuba kau perhatikan, mereka ini hanyalah bertelagah dalam bidang Furu’ (cabang). Tidak mempertikai soal-soal Usul (dasar) Aqidah. Betul tak? Talkin, Majlis Tahlil, dan Bacaan Qunut hanyalah perkara Furu’. Mereka masih lagi berpegang pada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Cuma, mereka hanya berselisih dalam soal cabang. Mereka sering mengambil pendapat daripada ulama Mazhab Hambali, seperti Sheikh Ibn Taimiyah dan Sheikh Ibn Al-Qayyim Al-Jauziah. Dalam soal Qunut, segelintir mereka mengatakan ia adalah bidaah, sedangkan Imam Shafie rhm. sendiri tidak menagatakn ia adalah wajib. Imam Shafie hanya menetapkan ia adalah Sunnah. Jadi, kita tidak perlu membenci dan mengatakan mereka ini sesat.” jelasku kepada Fikar.

Jawapan :

Menghukum Bid'ah dholalah itu sendiri termasuk dalam perkara usul. Dan bukan cabang lagi. Jika anda mendengar penjelasan dari Dr Asri (saya lihat ia menjadi rujukan dalam laman web anda) beliau sendiri dalam pertemuan dengan para imam di masa awal-awal menjadi mufti Perlis menyatakan bid'ah sama dengan KAFIR. Begitu juga penjelasan dari Prof Dr Haron Din.

Oleh itu, untuk menyatakan ia perkara remeh, nampaknya saudara perlu lebih lagi mengkaji. Dan mengapa ramai para ulamak menentang fahaman wahhabi ini perlu anda kaji lebih lanjut.

p/s : Dr Asri yang menjadi rujukan anda (mungkin ?) turut terlibat dalam menghukum kafir terhadap ulamak dan umat Islam, menghina ijtihad salafussoleh. Harap maklum.

Zahirul Nukman said…
@IbnuNafis

Alhamdulillah. sejujurnya saya memang ingin mendapatkan respon dan pandangan daripada admin JomFaham tentang isu begini. :)

Bukan untuk timbulkan masalah, tetapi untuk saya sendiri belajar mengenai isu-isu sebegini.

Insya-Allah,saya menerima teguran anda. Saya sememangnya naif mengenai isu ini.

Sekali lagi, saya menghargai pencerahan daripada tuan. Wallahua'lam.

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan