Ayuh Sebarkan Cinta !
AYUH SEBARKAN CINTA
Oleh: Putera Madani
Alhamdulillah, bertemu kita dalam makalah daripada saya. Fokus kita kali ini cenderung ke arah isu remaja, CINTA. Jika ditanya tentang cinta kepada saya, jawapan saya mudah. Saya berpegang kepada satu pendapat yang saya rasakan mudah difahami oleh umum. Berpegang pada satu pendapat bukan bereti saya taklid buta, namun saya mengambil pendapat tersebut atas dasar formula yang diberikan amat sesuai dan boleh diterima oleh akal yang manusiawi. Imam Hasan Al-Banna turut menegaskan bahawa pendapat seseorang imam itu dalam sesuatu perkara yang tiada nas atau nas yang mempunyai pendapat umum dan dalam soal kepentingan umum adalah harus dan boleh dilaksanakan selagi mana ia tidak bertentangan dengan asas syarak [1].
BAHAGIAN CINTA
Pendapat yang saya ambil merupakan rumusan cinta daripada Sheikh Ibnu al-Qayyim al-Jauziy rahimahullah. Beliau memecahkan cinta kepada dua ketegori; yang dibenarkan dan tidak dibenarkan [2].
Cinta yang dibenarkan adalah seperti berikut:
1) Cinta kepada Allah (Al-Hubb Ila Allah)
Inilah cinta agung dan cinta utama yang perlu dikecapi oleh setiap manusia yang manusiawi. Jadilah insan yang mendapat perhatian Ilahi. Menjadi fitrah kepada manusia untuk mengejar cinta khususnya cinta Sang Pencipta Cinta.
2) Cinta apa yang dicintai oleh Allah (Al-Hubb ma yuhibbu Allah)
Sebagai mana kita mencintai seorang kekasih, kita turut mencintai apa yang disukai olehnya. Sebagai analogi, Gadis A amat menyukai anak patung Domo, maka kekasihnya mahu tidak mahu turut juga menyukai perkara yang sama sehinggakan memberikan hadiah berupa benda yang disukai oleh gadis tersebut. Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh kita yang berusaha mencari cinta Ilahi, turut juga mesti menyukai perkara yang dicintai Ilahi. Antaranya, malaikat, para rasul dan nabi, Kalamullah dan apa yang terkandung di dalamnya, para ulama yang jelas akidah dan fikrahnya, serta segala perkara baik yang jelas disukai oleh Allah.
3) Cinta dalam keredhaan Allah (Al-Hubb Fillah)
Mahabbah fillah, cinta kepada manusia atau apa jua benda seperti harta dan kuasa untuk mencapai dan berada dalam lingkungan redha Allah. Cinta inilah yang sering menjadi fokus manusia. Cinta sesuatu kerana Allah. Ada segelintir ulama kontemporari menafsirkan erti ‘cinta sejati’ sebagai mencintai seseorang yang membolehkan seseorang itu lebih hampir dengan Penciptanya. Sebagai contoh, seseorang itu mencintai kekasihnya. Dengan cinta itu, beliau semakin rajin dalam melaksanakan solat di awal waktu secara berjemaah, fokus dalam pelajaran, dan bertambah aktif dalam sukan.
Inilah cinta-cinta yang dibenarkan dan perlu diresapi ketiga-tiganya dalam diri kita sebagai seorang pencari cinta. Tidak boleh hanya mengambil satu; selebihnya ditinggalkan. Ini secara tidak langsung mengurangkan cinta kepada Ilahi. Cintalah Allah, cintalah apa yang dicintai-Nya dan seterusnya rebutlah pula cinta hamba-Nya demi menggapai cinta Sang Pencipta.
Begitu juga sebaliknya, terdapat satu cinta yang ditegah dan perlu dijauhkan daripada kita. Cinta ini digelar ‘Cinta Bersama Allah’ (Mahabbah ma’a Allah). Cinta ini bermaksud mencintai Allah bersama-sama cinta kita kepada makhluk. Ia bukan sahaja menyamatarafkan martabat Khalik dengan Makhluk, malah mungkin boleh melebihkan cinta kepada kekasihnya berbanding cintanya kepada Allah. Cinta ini boleh membawa sang pencinta kepada syirik. Maka, jauhilah ‘Cinta Terlarang’ ini.
JANGAN MALU UNTUK BERTANYA
Fitrah bagi remaja yang sedang meningkat dewasa untuk mendampingi dan mengasihi seseorang yang berlainan jantina. Kepada para pembaca yang budiman, jika berbicara tentang cinta, maka janganlah berasa malu atau segan-segan silu. Kerana pepatah sering menyebut ‘malu bertanya sesat jalan’, malu bertanya tentang cinta, maka kita akan mudah hanyut dalam fitnah-fitnah percintaan. Sedar atau tidak, gejala zina, khalwat dan buang anak adalah bermula dengan cinta. Jadi, mahu tidak mahu janganlah malu bertanya tentang cinta, agar tidak hanyut ditelan arus maksiat.
Banyak persoalan tentang cinta yang diutarakan oleh orang kebanyakan terutama masyarakat negara kita. Contohnya, kini banyak dalam Facebook rasmi penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus sendiri, ramai peminat beliau bertanya tentang subjek cinta ini.
Antara soalan yang boleh saya utarakan ialah:
Soalan: Apa hukum saya pergi menemankan pasangan ‘couple’ berjumpa? Saya sudah memberitahu bahawa ‘couple’ dalah haram. Namun dia mahukan dalil yang sahih mengatakan ‘couple’ itu haram.
Jawapan: Hukum berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram mengikut ijmak ulama. Perbuatan ini juga haram kepada mereka yang sudah bertunang kerana Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya[3] :
“Jangan berdua-duaan perempuan dengan lelaki melainkan ditemani mahramnya. “
(Hadith Riwayat Bukhari)
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya [4]:
“Tidak harus masuk seorang lelaki ke tempat perempuan melainkan ada serta perempuan itu mahramnya.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Imam Nawawi menjelaskan,
Daripada hadith di atas diharamkan berdua-duaan dengan wanita bukan mahram sama ada dalam rumah wanita itu ataupun di mana-mana tempat dan sama ada ketika sembahyang ataupun lainnya.
Jelas daripada dalil-dalil ini, berdua-duaan tanpa nikah itu haram dalam Islam. ‘Couple’ adalah budaya Yahudi dan Nasrani, mula diterima oleh orang Islam yang jahil dengan hukum agama.
Khulasahnya, mari bersama-sama kita merebut cinta Khalik yang merupakan cinta utama, sebelum mencintai ciptaan Sang Pencipta Cinta. Ayuh sebarkan cinta!
Rujukan:
[1] Himpunan Risalah Hasan Al-Banna, terbitan Pustaka Salam.
[2] Mutiara Pewaris Nabi, terbitan SynergyMedia
[3] Kitab Syarah Sahih Bukhari, karya Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani.
[4] Kitab Syarah Sahih Muslim
Comments