Erdogan, AK Parti, Turki dan Islam

ERDOGAN, AK PARTI, TURKI DAN ISLAM.



Berikut merupakan transkrip soalan dan jawapan (yang disunting sedikit) mengenai isu Turki dan AK Parti yang ditanya oleh mahasiswi UIAM kepada YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Syarahan Perdana Islam Leading Model (ILM) bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 26 November 2018.

Soalan :
Assalamualaikum wbt. Soalan saya, apakah bacaan Ayah Chik sendiri terhadap Turki yang sekarang masih berada di bawah pemerintahan parti AKP. Sebab seperti yang kita semua sedia maklum, parti AKP adalah parti yang membawa ideologi sekular, bahkan kerajaan Turki sendiri mempunyai hubungan rasmi dengan Israel. Jadi, adakah langkah yang diambil Turki mutakhir ini agak terkehadapan berbanding negara-negara Islam yang lain dalam mempertahankan hak kemanusiaan seperti di rohingya, hanyalah sebagai satu percaturan politik atau satu agenda belakang yang dikuasai Amerika, atau bagaimana?
(minit ke 1:18:12)

Jawapan:
Mengenai AKP di Turki. Kita kena sedar bila mana jatuhnya Uthmaniyyah di Turki, Kamal Ataturk menegakkan negara sekular. Sekular dia masukkan dalam Perlembagaan Turki, maka wajib dipertahankan. Tiada siapa yang boleh menghapuskan sekular.

Oleh sebab itu, pada tahun 60-an, Adnan Menderes (Perdana Menteri Turki) yang menang pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri. Beliau cuba nak buat perubahan sedikit sahaja, (iaitu) nak benarkan orang Turki pergi Mekah dengan bebas, dan buka madrasah imam khatib (Imam Hatip Lisesi) untuk menyediakan imam dan khatib di masjid-masjid. Beliau kemudiannya digulingkan dan dijatuhkan hukuman mati, hukuman bunuh kerana 'kesalahan' itu.

Kemudian pada tahun 70-an, muncul Najmuddin Erbakan. Beliau seorang ahli akademik yang sangat berpengaruh di Turki. Orang Turki tidak berani nak bertindak terhadap dia, kerana pengaruh dia besar. Namun dia tidak boleh nak berterus terang kepada Islam, dan menjadi masalah. Walaupun dia cuba buat (melalui pertubuhan) D8 di peringkat antarabangsa, cuba laksanakan Islam secara terbuka dan ianya menyebabkan dia digulingkan beberapa kali. Dia buat parti politik beberapa kali daripada parti Salamat (Milli Selamet Partisi), parti Refah dan parti Saadet, berubah parti ni.

Sehinggalah (pada zaman) Erdogan. Erdogan ini anak murid dia (Erbakan), buat parti baharu, (iaitu) AK Parti yang jelas membuat perjanjian dengan tentera, buat perjanjian dengan jeneral - yang ini ramai orang tidak tahu. Dia buat janji dengan jeneral ni, (iaitu) janji tidak laksanakan Islam. Menyebabkan berbalah dengan Erbakan. Erbakan marah kerana dibuat perjanjian ini. Jadi, perjanjian ini macam mengikat diri dia (Erdogan). Namun demikian, itulah yang berlakunya dan kita cuba nak mendamaikan antara dua ini supaya ada kerjasama.

Cuma apa yang saya lihat pada hari ini, walaupun AKP tidak boleh membatalkan diplomatik dengan Israel sampai sekarang, namun dia (Erdogan) dapat melemahkan pengaruh-pengaruh Israel dalam Turki. Khususnya dia berjaya membebaskan perisikan Turki daripada Mossad (perisikan Israel). Itu kejayaan yang besar. Dengan sebab itu, rampasan kuasa di Turki yang diatur oleh Israel dan Barat baru-baru ini (yang turut) disokong oleh negara Arab, gagal. Kerana (hal-hal) intelijen, Turki dapat kuasai.

Satu lagi yang menarik ialah dia (Erdogan) berjaya mewujudkan Demokrasi, boleh mengajar agama secara bebas di masjid-masjid, dan masjidnya hidup. Cumanya kita kena sedar (bahawa usaha) Erdogan ialah memberi peluang untuk Islam itu bergerak. Dia nak laksanakan Islam tidak boleh lagi, dia beri peluang kepada orang lain untuk menggerakkan Islam, ini yang dia boleh buat.

Dan kita harap, perubahan yang mutakhir ini bila Turki mula beralih daripada terikat dengan Amerika, kepada mengadakan pakatan dengan Russia dan Iran. Selepas kes rampasan kuasa, Turki mengadakan pakatan dengan Russia dan Iran untuk membebaskan mereka daripada pengaruh Amerika. Ini langkah yang dibuat. Insya-Allah perkara berikut akan berlaku.

Dan saya lihat ketegangan antara Saadet dengan AK ini agak reda, tidak macam dulu lagi. Insya-Allah satu perubahan akan berlaku.
(Minit ke 1:23:47 hingga 1:27:08)

Disunting dan ditranskrip oleh Zahirul Nukman Narakna.

______________________

Rakaman FB Live Syarahan Perdana bertajuk “Geopolitik Dunia dan Masa Depan Islam" bersama YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Main Auditorium UIAM:


#ModelIslamMemimpin
#IslamLeadingModel

Comments

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan